Saturday, September 19, 2009

DUA LELAKI MENCARI SYURGA


Dua kisah di bawah ini perlu dijadikan iktibar……….

KISAH PERTAMA

Kehangatan cahaya matahari pijar membakar kulit.Nabi Musa duduk di bawah sebatang pokok dan meneguk air buat penghilang dahaga.Kakinya terasa lenguh selepas menempuh satu perjalanan yang amat jauh.

Sambil mengelap titis-titis peluh yang bermanik di dahi,Nabi Musa memandang warga kampung yang lalu-lalang di hadapannya.Seketika kemudian dia bangun menghampiri seorang tua.

“Saudara,”Nabi Musa menyapa,”Betulkah ada seorang lelaki meninggal dunia di sini dalam sehari dua ini?”

“Betul…adakah dia ahli keluarga kamu?”tanya lelaki tua itu.

“Oh…tidak,tidak.Tapi betulkah mayat itu tak disempurnakan,tapi dicampakkan ke dalam sampah dan kotoran?”

“Betul,”jawab penduduk kampung itu.”Itulah tempat yang paling layak untuknya.”

Nabi Musa terperanjat mendengar kata-kata lelaki tersebut.”Tapi kenapa?”

“Sebab hidupnya keji,”balas lelaki tua dengan mencebikkan muka.

Tambah lelaki tua itu,si mati semasa hidupnya tidak lekang daripada maksiat.Arak,judi dan merompak sudah menjadi darah dagingnya.Kalau nampak wanita,dia akan mencari jalan untuk merosakkannya hingga berjaya.

Akibat sifat kejinya itu,lelaki tersebut dibenci oleh seluruh penduduk kampung.Maka apabila dia meninggal dunia,penduduk kampung tidak mahu menguruskan mayatnya.Malah mereka mengheret,kemudian menghumbannya ke dalam longgokan sampah dan kotoran.

Atas permintaan Nabi Musa,beliau dibawa ke kawasan timbunan sampah dan kotoran,tempat mayat lelaki berkenaan terbongkang seperti bangkai.Sebaik melihat keadaan mayat yang telah kejang,busuk dan bersempudal kotoran jijik,Nabi Musa termenung.

Nabi Musa bermunajat kepada Allah dan bertanya,mengapa beliau diperintahkan supaya menyembahyang dan mengebumikan mayat lelaki itu

sedangkan kawan dan jiran-jiran semuanya mengatakan dia adalah sejahat-jahat manusia.Mengapakah Allah memandang lelaki itu begitu istimewa?

Tatkala itu turunlah wahyu daripada Allah bagi menjawab pertanyaan Nabi Musa;”Wahai Musa,memang benar apa yang dikatakan oleh orang itu.Tetapi sewaktu hampir saat kematian lelaki ini,dia meminta syafaat dari-Ku dan tiga perkara lain.Ketahuilah wahai Musa,andai kata semua orang yang berbuat dosa tersebut turut memohon syafaat tiga perkara itu kepada-Ku,Aku pasti akan memenuhinya.Bagaimana Aku tidak simpati sedangkan dia memohon kepada-Ku dengan sepenuh hati.”

“Ya Allah,apakah tiga perkara itu?,”tanya Nabi Musa.

Pertama,kata Allah,dia insaf dan memohon supaya dosanya diampuni.Menurut lelaki itu,walaupun saban hari melakukan kejahatan,namun sebenarnya di dalam hati,dia amat benci kepada maksiat.

Bagaimanapun,dia tidak dapat berhenti daripada melakukan perbuatan keji kerana di dalam dirinya terdapat tiga perkara yang amat dibencinya.Tetapi tiga perkara itulah yang mendorong beliau terus melakukan maksiat.Tiga perkara itu adalah nafsu,kawan-kawan yang jahat serta iblis.

Tambah lelaki tersebut,biarpun melakukan perbuatan mungkar,dia sebetulnya lebih sayangkan para solihin.Malah dia lebih suka menerima kunjungan para solihin dan menjadikan kediamannya sebagai tempat berkumpul alim ulama hinggakan jika ada orang-orang soleh memerlukan bantuannya,lelaki itu mendahulukan mereka berbanding kawan-kawannya yang berperangai keji.

Seterusnya lelaki itu merayu di hujung hayatnya,”Ya Allah,andai kata Engkau mengampuni segala dosaku,maka akan bergembiralah para kekasih dan nabi-nabi-Mu,dan susah hatilah syaitan yang menjadi musuh-Mu.Jika Engkau menyeksa aku kerana banyaknya dosa,maka syaitan dan iblis bergembira sedangkan para nabi dan wali-Mu berasa sedih dan kecewa.

“Sesungguhnya aku tahu bahawa gembiranya para wali lebih Engkau senangi daripada gembiranya syaitan dan sahabatnya.Aku berharap semoga Engkau mengampuniku.Berilah kasih sayang-Mu kepadaku.”

Justeru kerana keikhlasan lelaki itu mengakui segala kesilapannya,Allah mengampunkan dosa-dosanya.Lantas Allah memerintahkan Nabi Musa supaya melakukan apa yang telah diperintahkan kepadanya.Malah atas kemuliaan lelaki tersebut,Allah mengampunkan dosa orang-orang yang menyembahyang dan mengebumikan jenazahnya.

“Sesungguhnya lelaki itu adalah wali dan kekasih-Ku,”kata Allah.

KISAH KEDUA

Raja Rom merenung wajah Syeikh Ibnu Saqa’ yang duduk di hadapan baginda.Dalam hatinya berkata,wajarlah lelaki itu diutuskan oleh khalifah kerajaan Islam untuk menemuinya bagi merapatkan hubungan antara kedua-dua kerajaan.

“Ilmunya tinggi,kefasihan dalam hukum-hakam dan kearifannya dengan isi al-Quran tak berupaya dicabar,”kata Raja Rom sendirian.

Baginda kagum kerana walaupun disoal bertalu-talu dengan pelbagai muslihat oleh pegawai istana dan pendeta Nasrani,Ibnu Saqa’ menjawabnya dengan mudah.Malah jawapannya bersandarkan hadis dan firman itu tidak mampu dipatahkan semula.

“Imannya bagaikan tembok besi,”Raja Rom berkata-kata di dalam hati.Dalam diam,baginda memikirkan sesuatu.

Ibnu Saqa’ kemudiannya diberikan tempat tinggal yang mewah dan Raja Rom menugaskan puterinya menggoda Ibnu Saqa’.Katanya,iman Ibnu Saqa’ mesti dirobohkan.

Dengan kecantikan paras rupanya,mudah sahaja puteri tersebut mencairkan jiwa Ibnu Saqa’.Digodanya lelaki tersebut habis-habisan hingga imannya mencair selapis demi selapis.

Kian hari,gelora hati Ibnu Saqa’ tambah menggegar.Tubuh puteri yang menggiurkan,senyuman manis,mata galak serta kulitnya yang putih bersih membuatkan Ibnu Saqa’ tidak tentu arah.

Rindu dendamnya terhadap sang puteri akhirnya tidak terbendung lagi.Lantas beliau menemui Raja Rom dan menyampaikan hasrat untuk memperisterikan puteri baginda.

“Boleh,tapi dengan satu syarat,”kata Raja Rom.

“Katakanlah,saya sedia menunaikannya.”Ibnu Saqa’ pantas membalas.

“Tinggalkanlah agamamu dan masuklah Nasrani.”

Di kala itu Ibnu Saqa’ terdiam.Seluruh tubuhnya menggeletar,jantungnya bagai direntap.Akal fikiran Ibnu Saqa’terasa melayang dan pandangannya gelap seketika.

Dalam keadaan serba salah,Ibnu Saqa’ terkenangkan segala ilmu yang dipelajarinya bersama ulama-ulama terbilang.Begitu juga dengan sahabat karibnya,Syeikh Abdul Qadir Jailani dan Syeikh Abu Sa’id Abdullah Abi Asrun.Malah masih terasa kemanisan ketika mereka bertiga bermusafir ke segenap rantau untuk belajar dengan alim ulama.

Ibnu Saqa’ menghela nafas.Setiap ayat suci al-Quran,yang semua dihafalinya,berlegar di fikiran.Amal ibadah yang tekun ditunaikannya siang dan malam bagai mengikat mindanya supaya mengatakan ‘tidak’.Kalau dituruti kehendak Raja Rom itu bermakna sia-sialah ilmu yang dipelajarinya selama ini.

“Macam mana Ibnu Saqa’?”soal Raja Rom mengejutkan lamunan Ibnu Saqa’.

“Baiklah tuanku,”jawab Ibnu Saqa’.”Saya akan tinggalkan Islam dan memeluk Nasrani.”

Raja Rom tersenyum lebar.Rancangannya sudah berjaya.Ibnu Saqa’ kemudiannya dikahwinkan dengan puteri Raja Rom.Tertunailah impian Syeikh Ibnu Saqa’ untuk beristerikan puteri Raja Rom.

Beberapa tahun kemudian,beberapa orang rakan Ibnu Saqa’ pergi ke pasar kota Rom.Kalau dulu mereka terkejut dengan berita lelaki itu keluar dari Islam,kali ini mereka terkejut pula kerana terserempak dengan Ibnu Saqa’ dalam keadaan daif di tengah pasar.Bajunya compang-camping,hapak dan koyak rabak.badannya hamis dan kurus kering.

Apabila ditanya,Syeikh Ibnu Saqa’ memberitahu,Raja Rom membuangnya ke situ sebaik sahaja beliau sakit dan tidak berdaya.

“Saya terpaksa cari rezeki,makan dan minum sendiri,”kata Ibnu Saqa’ dengan lemah.

“Adakah awak masih hafal al-Quran?”seorang kenalannya bertanya.

“Tidak…”jawab Ibnu Saqa’.

“Tidak??!!”soal kenalan itu seolah-olah tidak percaya.

Kian hari keadaan Ibnu Saqa’ tambah tenat dan ketika hayatnya semakin sampai ke penghujung,rakan-rakan memalingkan muka Ibnu Saqa’ ke arah kiblat.Namun lelaki itu pantas mengalih mukanya ke arah lain.Sampailah Izrail dating mencabut nyawanya,Ibnu Saqa’ tetap tidak mahu memandang ke arah kiblat.

Akhirnya,kembalilah seorang ilmuan Islam yang dulunya hafiz al-Quran dan dihormati alim ulama,sebagai seorang kufur.Dia ditewaskan oleh seorang wanita..

KESIMPULANNYA

Mati itu benar,syurga dan neraka itu juga benar.Di mana seseorang itu akan ditempatkan kelak,ia adalah urusan Allah.Biarpun demikian,orang yang hidupnya gemar melakukan perbuatan keji dan maksiat tidak boleh sama sekali dikatakan bakal menghuni neraka.Samalah keadaannya,orang yang tidak lekang daripada melakukan amal makruf belum tentu akan ditempatkan di syurga.Amalan semasa hayat bukan jaminannya…..

SUMBER:- 1)Kisah-Kisah Teladan

2)Majalah Mastika (Mac 2002)

Thursday, September 17, 2009

Peristiwa Rasul Penuh Keraguan Melayu (Kahar bin Ahmad Jalil) Ditangkap JAIS


Rabu September 16, 2009 'Rasul Melayu' tidak puasa semasa ditangkap - Pengarah JAIS

SHAH ALAM: Pengamal ajaran sesat yang mengaku dirinya 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad sedang makan sambil menonton televisyen ketika ditangkap oleh pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam (JAIS) Selangor pagi tadi.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi ketika mendedahkan demikian juga berkata, Abdul Kahar cuba melarikan diri ketika serbuan dibuat kira-kira pukul 9.45 pagi tadi di sebuah rumah dekat Sungai Long, Kajang.

"Semasa kita nak tangkap, dia tengah makan, tengok televisyen, bila kita nak tahan dia cuba nak lari, tapi kita berjaya kepung... Rasul Melayu pun tak puasa," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Abdul Kahar, 59, berjaya ditangkap setelah usaha memburunya dilakukan sejak Isnin lalu berdasarkan maklumat orang awam.

"Kita kesan dia di Sungai Long, setelah beliau berpindah ke sana, kita dapat maklumat dari orang awam mengesahkan yang dia telah berpindah ke Sungai Long.

"Jadi kita buat intipan beberapa hari untuk sahkan dia memang ada di situ dan kita buat serbuan pagi tadi," katanya.

Menurut beliau, ketika serbuan dibuat, anak lelaki Abdul Kahar yang dikenali sebagai Zulhelmi serta orang gaji mereka turut berada dalam rumah tersebut.

Abdul Kahar dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini tengah hari tadi dan diperintahkan supaya ditahan sehingga tarikh perbicaraan akan datang.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Hamid agar Abdul Kahar, 59, ditahan kerana beberapa kali gagal hadir pada perbicaraan kesnya walaupun waran tangkap telah dikeluarkan.

Mahkamah turut menetapkan 24 September ini untuk sebutan bagi menyambung waran tahanan terhadapnya.

Dalam sidang media yang sama, Mohammed Khusrin juga memaklumkan pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat untuk mengambil tindakan terhadap anak lelaki Abdul Kahar yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran sesat melalui internet.

"Kita akan ambil tindakan terhadap Zul (Zulhelmi) kerana sekarang ini risalah-risalah mengenai ajaran sesat mereka disebarkan melalui internet.

"Mereka sebarkan melalui internet...ada laman blog sendiri, kita tunggu masa, bila kita dah cukup bukti kita akan ambil tindakan," katanya.

BERITA TERDAHULU 'Rasul Melayu' ditahan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah hari ini mengeluarkan perintah tahanan terhadap pengamal ajaran sesat yang mengaku dirinya 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad, sehingga dibicarakan pada 7 Oktober depan.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad memutuskan perkara tersebut selepas membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukor Abdul Hamid agar Abdul Kahar, 59, ditahan kerana beberapa kali gagal hadir pada perbicaraan kesnya walaupun waran tangkap telah dikeluarkan.

Bagaimanapun perintah tahanan yang dikeluarkan hari ini hanya sah sehingga tempoh lapan hari.

Oleh itu hakim menetapkan pada 24 September depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes berkenaan untuk pihak pendakwaan mengemukakan permohonan melanjutkan perintah tahanan.

Abdul Kahar ditahan Jabatan Agama Islam Selangor, (JAIS) di rumahnya dekat Sungai Long, Kajang kira-kira pukul 9.45 pagi tadi.

Dia kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Dia dituduh buat pertama kali di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 2005 atas lima tuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Dalam prosiding hari ini, Abdul Shukor berkata kehadiran Abdul Kahar di mahkamah bukan atas kerelaan atau kesedarannya tetapi kerana telah ditangkap oleh penguatkuasa JAIS. Oleh itu, mahkamah perlu mengeluarkan waran tahanan terhadapnya sehingga tarikh perbicaraan akan datang pada 7 Okt ini.

"Tertuduh banyak kali mengelak untuk hadir ke mahkamah. Walaupun tindakan menahan tertuduh boleh memudaratkan kesihatannya tetapi mahkamah perlu pandang satu lagi kemudaratan lebih besar (iaitu) kepada agama Islam jika tertuduh dijamin," katanya.

Abdul Kahar mendakwa kegagalannya hadir pada perbicaraan sebelum ini disebabkan dia menerima beberapa ugutan bunuh sehingga terpaksa melarikan diri.

Tertuduh berkata sehingga kini dia juga masih gagal mendapatkan khidmat peguam dan memohon mahkamah memberi peluang kepadanya untuk mencari peguam bagi mewakilinya.

"Saya merayu agar mahkamah membenarkan saya dijamin bagi membolehkan saya menyambut hari raya bersama keluarga. Saya bukan nak mengelak tetapi takut dengan ugutan bunuh dan sekiranya saya ditahan saya tidak akan dapat menjalankan tanggungjawab saya kepada keluarga.

"Saya berjanji jika saya dijamin saya tidak akan melakukan apa-apa tindakan termasuk sebar risalah dan juga akan menghadiri perbicaraan," katanya.

Peguam pemerhati bagi Persatuan Peguam Muslim Malaysia Zainul Rijal Abu Bakar ketika merujuk dakwaan ugutan bunuh yang diterima tertuduh berkata, sekiranya tertuduh ditahan dalam penjara, keselamatannya akan terjamin kerana akan dikawal sepanjang masa berbanding jika dia berada di luar tahanan.

Abdul Kahar dituduh telah menyatakan, mendakwa dan mengisytiharkan diri sebagai "Rasul orang Melayu di zaman ini" sedangkan penyataan dan dakwaan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Dia juga didakwa menjelaskan doktrin palsu yang bertentangan dengan hukum syarak berhubung agama Islam, antaranya menyatakan sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar dan ibadah haji pula sia-sia dan merugikan.

Bagi tuduhan ketiga, Abdul Kahar didakwa mengingkari dan melanggar arahan Mufti iaitu masih menjelaskan amalan dan mengajar Ajaran Kahar Ahmad sedangkan ia telah difatwakan sebagai menyeleweng daripada Islam.

Pertuduhan keempat menyebut bahawa tertuduh didakwa telah mempersendakan amalan Islam dengan menyatakan: "Ibadah haji ialah perkara yang diada-adakan oleh kerajaan Arab Saudi dengan tujuan mengaut keuntungan" dan "Buat apa sembahyang tunggang-tonggek, membebel sendirian dan ia umpama orang mabuk dan berjudi".

Abdul Kahar juga dituduh menyebarkan pendapat dan ajaran, antaranya rasul tidak benar, yang bertentangan dengan hukum syarak dan fatwa yang masih berkuat kuasa di Selangor.

Tertuduh, yang tidak bekerja, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman bernombor 44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Hulu Klang, antara 19 Mei dan 23 Jun 2005

Tuesday, September 15, 2009

'Rasul Melayu' akhirnya ditahan JAIS

'Rasul Melayu' akhirnya ditahan Jais



















ABDUL Kahar Ahmad Jalal atau dikenali sebagai Rasul Melayu, yang dikehendakki oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

SHAH ALAM: Selepas lebih tiga tahun melarikan diri daripada dibicarakan atas tuduhan mengaku sebagai Rasul Melayu, menyebarkan doktrin palsu, menghina Islam, dan menghina pihak berkuasa Islam, akhirnya Abdul Kahar Ahmad ditahan, pagi tadi.

Tertuduh ditahan sepasukan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selepas melarikan diri ke rumah barunya di Sungai Long, Kajang.

reference: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20090916123930/Article/index_html

Syukran Ghazilan Ya Geng 26... Blog Kahar "Rasul Keraguan" yang telah Menghina Al Quran dan Mencaci Cerca Nabi Muhammad (saw) kini telah dihapuskan.

Monday, September 14, 2009

MOVIE TAULADAN TENTANG RASUL PALSU



KISAH TAULADAN DARI FILEM INDONESIA. SUNGGUH BERGUNA. ADA 10 BAHAGIAN SEMUANYA. INSYAALLAH BERGUNA

Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda:



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُبْعَثَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ قَرِيبٌ مِنْ ثَلَاثِينَ كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللَّهِ (البخاري ومسلم)

“Kiamat tidak akan terjadi sebum muncul para dajjal pendusta yang hampir mencapai 30 orang, masing-masing mengaku bahwa dirinya adalah Rasulullah”. (Bukhari-Muslim)



عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ....... وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَلْحَقَ قَبَائِلُ مِنْ أُمَّتِي بِالْمُشْرِكِينَ وَحَتَّى تَعْبُدَ قَبَائِلُ مِنْ أُمَّتِي الْأَوْثَانَ وَإِنَّهُ سَيَكُونُ فِي أُمَّتِي كَذَّابُونَ ثَلَاثُونَ كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ نَبِيٌّ وَأَنَا خَاتَمُ النَّبِيِّينَ لَا نَبِيَّ بَعْدِي (أبو داود والترمذي)

“…Dan tidak terjadi hari kiamat sampai bangsa-bangsa (suku-suku) dari umat-Ku menjadi musyrik dan sampai bangsa-bangsa (suku-suku) dari umatku menyembah berhala-berhala. Dan sesungguhnya akan ada pada umatku 30 pendusta, masing-masing mereka mengaku bahwa dirinya adalah Nabi, dan aku adalah penutup para nabi. Tidak ada nabi setelahku”. (HR. Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Sunday, September 13, 2009

Menjawab Golongan Anti Hadith, Jawapan kepada Kahar bin Ahmad yang Sudah Terpesong Jauh.



Ada 7 bahagian video. Semoga usaha saya yang dhaif ini bermanfaat buat semua. Amin ya Allah.


ANTARA ISI KANDUNGANNYA:

Benarkah Rasulullah saw hanya mengajarkan al-Quran?
Benarkah Rasulullah melarang menulis hadith?
Benarkah umat Islam hanya berpandukan al-Quran tanpa hadith?
Benarkah al-Quran sudah ditokok-tambah?
Al-Quran terpelihara kerana bahasa ataupun Kod 19?
Kod 19 ada dinyatakan dalam al-Quran?
Benarkah "Al-Mudaththir" bermaksud "Rahsia yang Terpendam"?
Benarkah "Bismillah..." ada 19 huruf?
Benarkah solat umat Islam hanya 3 waktu sehari semalam?
Benarkah kiamat akan berlaku pada tahun 2280?
Benarkah Nabi Muhammad bukan rasul terakhir?

Daripada Miqdaam bin Madiikarib radiallhuanhu berkata: Bahawasanya Rasulullah saw bersabda: Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadith daripada hadithku, maka ia (orang itu) berkata: Pegangan kami dan (pegangan) kamu hanyalah kitabullah (al-Quran) saja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan dan apa yang ia (al-Quran) haramkan kami haramkan. (Kemudian Nabi saw melanjutkan sabdanya): Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah saw samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah swt.

Ajaran Kahar bin Ahmad memang seorang yang amat dikenali sebagai anti-hadith. Kahar telah mendustakan hadith Rasulullah (saw) yang sahih kerana sifat tamaknya, sifat kufurnya, sifat sombong serta ego. Video audio ini sebagai salah satu usaha dakwah yang dapat menyedarkan para pengikut Kahar serta umat islam seluruhnya. Insya-Allah.

Pembongkaran Kesesatan




Saturday, September 12, 2009

Pihak Yang Benar -Kahar Ahmad-

Apakah bukti pihak Kahar Ahmad (Rasul Palsu Penuh Keraguan) ini berada di pihak yang benar sekiranaya Kahar sendiri yang mendustakan Surah Al-Israk yang memberi tahu kepada muslim seluruhnya tentang kebenaran Israk Mikraj Muhammad (saw).

Sila rujuk Surah Al-Israk iaitu perihal peristiwa Israk Mikraj Rasulullah (saw).

Yang terlibat dalam peristiwa bersejarah ini pastinya Allah (swt), Para Rasul, dan Malaikat Jibrail. Sekiranya persoalan demi persoalan Kahar tujukan mengenai Israk Mijraj Muhammad (saw), pastinya Kahar telah tersesat jauh. Kesesatan yang teramat pasti kerana Kahar telah meragui kesahihan Al Quran serta sudah hilang kepercayaan terhadap Allah (swt), Para Rasul dan Malaikat Jibrail yang turut terlibat di dalam peristiwa tersebut.

Rukun Iman (asas kepercayaan umat islam seantero dunia) mewajibkan kita mempercayai 6 Perkara iaitu:
  1. Percaya kepada Allah (swt)
  2. Percaya kepada Para Malaikat
  3. Percaya kepada Kitab-Kitab yang diturunkan
  4. Percaya kepada Para Rasul
  5. Percaya kepada Hari Kiamat
  6. Percaya kepada Qada' dan Qadar
Jika, Kahar sudah terang-terangan mendustakan Surah Al-Israk, Kahar telah jauh tersesat kerana dia telah tidak mempercayai Allah (swt), Para Rasul, Malaikat serta apa yang telah diturunkan di dalam kitab suci Al Quran. Masih Islamkah Kahar?

Yang Pasti, Kahar sudah terbatal Iman.