Saturday, September 5, 2009

Memakai Serban dan Kopiah


Memakai serban dan kopiah adalah sebahagian daripada Sunnah Nabi, ini berdasarkan sabdanya:

Sabda Rasulullah SAW:

دخل النبي صلى الله عليه وسلم مكة يوم الفتح و عليه عمامة سوداء

Maksud: “Nabi SAW memasuki Kota Mekah sewaktu pembebasan Mekah, baginda memakai serban hitam”.

Pemakaian serban dan kopiah sudah sinonim dalam masyarakat Islam di seluruh dunia dan ia juga telah dijadikan amalan seharian masyarakat walaupun di luar urusan ibadah terhadap Allah.

PANDANGAN ULAMA’ TERHADAP SERBAN & KOPIAH

Firman Allah Taala dalam Surah Al-A’raf ayat 31

Bermaksud :
“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadah ( atau mengerjakan sembahyang ) dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”.

Menurut Imam al-Mawardi, maksud berhias di dalam sembahyang ialah memakai secantik-cantik pakaian . Manakala menurut pendapat Imam Abu Hayyan, zahir ayat di atas menunjukkan bahawa berhias dengan secantik-secantik pakaian (termasuklah memakai songkok dan berserban) bukan sahaja dituntut di dalam sembahyang bahkan di luar waktu sembahyang (setiap masa dan ketika) .

Menurut Sheikh Mahmud Syaltut, ketika memberi jawapan kepada soalan berhubung dengan sembahyang tanpa serban, kopiah atau songkok di kepala, beliau berpendapat tidaklah menjadi syarat sah sembahyang dengan menutup kepala atau tidak dan tidak pula disyaratkan jikalau untuk menutup kepala mesti dengan penutup khas. Walaupun begitu, bagi seseorang Islam eloklah dia bersembahyang dengan memakai serban, kopiah atau songkok dengan syarat tidak menutup dahi ketika sujud.

At- Tarmizi dan Muslim meriwayatkan daripada Ja’far bin ‘Amrin bin Huraith, daripada bapanya katanya:

رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم وعليه عمامة سوداء قد أرخى طرفيها بين كتفيه

Maksud: “Aku melihat Rasulullah SAW di yang memakai serban hitam di mana Baginda melabuhkan kedua hujungnya di antara dua bahunya”.

Berkata pengarang kitab Al-Mishbah : Hassan bin Ali dan Ibnu Zubair pernah memakai serban hitam ketika berkhutbah dan begitu juga Anas, Muawiyah, Ammar dan lain-lain lagi. Dan adalah Sa’id bin Musayyib memakai serban hitam pada hari raya puasa dan haji.

Berdasarkan yang demikian, sebahagian ulama berpendapat tidak perlu mengkhususkan dirinya dengan memakai serban hitam sama ada hari Jumaat atau hari-hari yang lain.

Berkata Imam Nawawi : “Memakai warna putih adalah lebih utama. Dan serban putih adalah lebih sesuai sebagai perhiasan para ulama’ pada zaman ini”.



Muslim, At-Tirmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jabir R.A. katanya :

إن النبي صلى الله عليه وسلم دخل مكة وعليه عمامة سوداء

Maksud : “Bahawasanya Nabi S.A.W. memasuki kota Makkah dengan memakai serban hitam.

Dalam hadis Jabir R.A. di atas, Rasulullah SAW memasuki kota Makkah dengan memakai serban hitam dan hadis ini tidak pula menyebutkan adanya ekor serban di antara kedia-dua bahu baginda.

Berkata Ibnu Qayyum : Hadis Jabir ini menunjukkan Baginda SAW tidak selamanya menjuntaikan ekor serban baginda. Selain daripada itu, Baginda juga terkadang melilitkan sebahagian serban itu ke bawah dagu, yang di antara tujuannya ialah menjaga supaya serban itu tidak jatuh dari kepala. Dan tercapailah tujuan memakai serban itu dengan mana-mana cara sekalipun.

Menurut Sheikh Muhammad Rasyid Reda, erti serban sebagaimana yang telah disebutkan oleh sesetengah orang ialah setiap apa yang diikat di kepala sama ada di bawah kopiah, atau di atas songkok, atau yang dililitkan ke atas kopiah, atau sebagainya.

Sheikh Muhammad Rasyid Reda pernah ditanya adakah memakai serban itu sunnah rasulullah SAW dan adakah orang yang memakai serban itu mendapat pahala. Untuk menjawab soalan itu, beliau memberikan jawapan berikut :
”Telah tsabit dalam hadith bahawa Nabi SAW terkadang :
1. memakai serban di atas kopiah, dan inilah sering berlaku
2. memakai serban tanpa kopiah
3. memakai kopiah tanpa serban
Di akhir jawapannya, beliau berkata: Walaupun tidak ada datang perintah atau sumber hukum (yang kuat) supaya mewajibkan memakai serban atas dasar sebagai salah satu hukum agama dan syariat, tetapi barangsiapa yang memakainya dengan niat menyerupai cara Rasulullah SAW berpakaian dan sebagai tanda kasih kepada Baginda SAW, tentulah niat ini mendapat ganjaran pahala.”

Sabda Rasulullah SAW:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يلبس العمامة على القلانس

Maksud : “Sesungguhnya Rasulullah SAW memakai serban bersama kopiah”.

Imam Sayuti Rahimahullah berkata : “Apa yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa yang dipakai oleh Nabi SAW dan sahabat RA di bawah serban ialah al-Qalansuah atau kopiah. Kalimat Kopiah yang disebutkan pula menunjukkan bahawa ianya adalah lebih menyerupai sesuatu yang diperbuat dari jenis kain kapas dan bulu.

Al-Baihaqi pernah meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Nabi SAW memakai kopiah putih. Ini menjelaskan bahawa pemakaian kopiah juga adalah sunnah Rasulullah SAW.

No comments:

Post a Comment