Rasulullah adalah orang yang pertama memulakan salam kepada mereka yang dijumpainya dan orang pertama mendahului menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan mereka.
Pernah baginda menghamparkan pakaian miliknya dan menghulurkan bantal (alas duduk) kepada tetamu (sebagai adab meraikan tetamu).
• Anas memuji lagi baginda dalam hadis yang lain: “Aku tidak pernah mencium sesuatu haruman yang lebih wangi sama ada anbar atau wangian kasturi atau sumber yang lain yang terlebih harum daripada wangian badan Rasulullah.
• Berkata Al-Baraa’: “Adalah Rasulullah orang yang paling menawan wajahnya dan baik akhlaknya.”
• Jabir b Abdullah meriwayatkan bahawa suatu ketika ketika bulan terang benderang: “daku sedang menatapi kepada wajah Rasulullah (yang berada di samping) dan juga ke arah bulan, tetapi mengikut pandanganku wajah Rasulullah terlebih indah daripada bulan.”
• Saidina Ali menegaskan bahawa beliau tidak pernah melihat sesiapa pun yang terlebih kacak dan segak sama ada sebelum bertemu Rasulullah dan selepas bertemu yakni dalam tempoh sepanjang hayatnya.
• Berkata Ibnu Abbas: “Adalah Rasulullah insan yang amat pemurah.”
• Berkata Saidina Husin: “Rasulullah sentiasa tersenyum. Budi pekertinya indah dan baik, seorang yang merendah diri, tidak berlaku kasar, tidak bersuara keras, tidak melakukan dan mengucapkan dengan perkara keji.”
Semua ini sekadar secebis daripada ribuan ciri-ciri keistimewaan junjungan besar Nabi Muhammad. Sahabat tidak rela berpisah dengan Rasulullah walaupun sesaat.
Apabila Rasululah dijemput pulang menghadap Allah, mereka diselubungi perasaan sangat sedih. Sahabat hampir hilang kawalan dan menangis tidak henti-henti melihat pemergian kekasih mereka yang banyak berjuang selama ini demi menyelamatkan mereka daripada menjadi bahan bakar neraka.
Perutusan Nabi Muhammad amat bermakna buat umat manusia. Dengan kedatangan baginda manusia mula mengenali erti tamadun yang sebenar. Tanpa tunjuk ajar baginda, manusia hilang identiti sebagai insan berakal serta hilang arah dalam mengenali erti peradaban yang diredai Allah. Baginda berjaya mengubah alam kekufuran yang menghantui manusia dengan sinaran tauhid dan rahmat.
Allah mengutuskan Nabi Muhammad dengan slogan ‘saiyyidul mursalin wa khatamun nabiyiin’ - penghulu rasul dan utusan terakhir untuk menyampaikan Islam kepada seluruh manusia.
No comments:
Post a Comment